Secara umumnya, muzik dan seni suara adalah merupakan hasil kreativiti yang mencerminkan manifestasi pemikiran, emosi, dan inovasi manusia. Ianya adalah sebahagian daripada aktiviti rekreasi manusia yang terkandung di dalamnya seni, budaya, hiburan, kehalusan bahasa dan juga pemikiran yang sentia diperbincangkan dalam mana-mana sejarah, kebudayaan dan tamadun manusia.
Mengikut pendapat para ahli antropologi, aktiviti-aktiviti muzik telah diamalkan oleh semua tamadun dan kelompok manusia sepanjang zaman. Salah satu kepercayaan orang Yunani zaman purba ialah individu yang berakhlak mulia dapat dibentuk dan dipupuk melalui pelbagai aktiviti dan latihan muzik. Ahli falsafah Greek, Plato juga berpendapat bahawa sahsiah seseorang itu amat dipengaruhi oleh seni halus seperti muzik, sastera dan lukisan. Pendedahan terhadap muzik dan seni dapat memperbaiki ketrampilan dan pembawakan diri seseorang individu.
Seorang lagi ahli falsafah Greek yang terkenal iaitu Aristotle pula mengatakan bahawa muzik mampu memainkan peranan dalam mempengaruhi niat manusia. Pada pendapat beliau, jika seseorang itu mendengar muzik yang menggambarkan sesuatu sifat manusia seperti kelembutan, kemarahan, keberanian, ketabahan hati, atau sifat-sifat yang sebaliknya, individu berkenaan akan cenderung memperlihatkan sifat-sifat berkenaan dalam perwatakannya. Hal ini bermakna peribadi seseorang itu boleh diperbaiki atau dirosakkan berdasarkan jenis muzik yang didengarnya.
Seorang tokoh pendidikan muzik yang pernah digelar “Bapa Pendidikan Muzik” di Amerika iaitu Lowell berpendapat bahawa semua pelajar boleh menyanyi dan berhak untuk mempelajari muzik. Beliau juga telah berhujah bahawa muzik boleh mendatangkan banyak perkara positif kepada pelajar. Muzik berpotensi untuk membantu seseorang individu menyedari keesaan Tuhan dengan lebih mendalam dan merasai ketenangan jiwa. Selain itu, muzik juga dapat membantu seseorang itu untuk menjadi warganegara yang lebih bersemangat patriotik.
Menerusi karyanya, “The Kodaly Method I: Comprehensive Music Education Third Edition”, Professor Zoltan Kodaly yang juga seorang tokoh pendidikan muzik Hungary turut menyatakan bahawa muzik merupakan kepunyaan manusia dan literasi muzik haruslah dijadikan hak asasi kepada semua rakyat dunia. Semasa era kepimpinan beliau, para pendidik muzik Hungary telah berjaya memperkembangkan suatu sistem pendidikan muzik yang begitu berkesan sehingga semua rakyat Hungary adalah dianggap sebagai “music literate” yang berkebolehan memainkan sekurang-kurangnya sejenis alat muzik atau dapat menyanyi dalam koir dengan membaca notasi muzik dengan betul.
No comments:
Post a Comment