Prestasi dan tahap pencapaian pelajar
Malaysia dalam Matematik dalam Kajian TIMSS tahun 1999 dan 2003 adalah boleh
dibanggakan. Menteri Pelajaran pada ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin sendiri
dengan bangganya melaporkan hal ini apabila dapatan TIMSS 2003 dikeluarkan. Ini
menunjukkan yang pengajaran Matematik dalam Bahasa Malaysia, iaitu bahasa
keluarga bagi yang kebanyakan pelajar (terutama pelajar Melayu dan Bumiputera
lain) telah membantu pencapaian Matematik yang baik dalam TIMSS 1999 dan 2003.
Bahasa Malaysia adalah bahasa pengantar dan pelajar mudah untuk memahami konsep
matematik, berbanding dengan pembelajaran dalam Bahasa Inggeris.
Pencapaian Malaysia pada
tahun 2003 adalah yang terbaik sepanjang penyertaan di TIMSS. Pada tahun
tersebut Malaysia belum melaksanakan pengajaran Matematik dalam Bahasa Inggeris
bagi pelajar Tingkatan 2 yang menjadi sampel kajian pada tahun 2003, tetapi
bagi sampel tahun 2007 pelajar Tingkatan 2, mereka telah diajar Matematik dalam
Bahasa Inggeris semasa mereka berada dalam Tingkatan 1 dan 2. Kajian-kajian (Isahak
2008, Juriah Long 2006) menunjukkan 70%-80% pelajar Tingkatan 2 menyatakan yang
mereka sukar dan agak sukar mengikuti pengajaran guru Matematik dalam Bahasa
Inggeris.
Berdasarkan kajian
tersebut, menunjukkan bahawa pertukaran penggunaan bahasa pengantar Matematik di
sekolah dari Bahasa Malaysia ke Bahasa Inggeris (bahasa kedua/ asing bagi
kebanyakan pelajar, terutama pelajar Melayu) mulai tahun 2003 (untuk pelajar
Tahun 1 dan Tingkatan 1 dan seterusnya), telah menyukarkan dan melemahkan
proses pengajaran dan pembelajaran pelajar Malaysia untuk belajar mata
pelajaran ini. Dengan itu prestasi pelajar Malaysia dalam ujian TIMSS (2007)
merosot dengan ketara, bagi Matematik dari 508 (2003) jatuh ke 474 (2007). Kemerosoton
ini adalah terbesar di kalangan 59 negara yang mengambil bahagian. Kemerosotan
ini menyebabkan penurunan prestasi pelajar Malaysia dalam Peperiksaan Menengah
Rendah (PMR) dan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
No comments:
Post a Comment