Pelajar Pasca Siswazah

My photo
Tanjong Malim, Perak, Malaysia
(Dari Kanan) Abdul Kalamudinsah Abd Karim, Rusmiza Rusle, Noraini Mohd Sohaimi, Nurul Aziyan Abd Aziz

Wednesday, May 30, 2012

Kanak - kanak bermasalah pendengaran


KANAK-KANAK BERMASALAH PENDENGARAN
Pendengaran merupakan medium yang sangat penting bagi menyalurkan input dan informasi kepada manusia. Pendengaran jugalah yang memungkinkan manusia menerima dan menyerap ilmu sebelum diproses oleh minda. Walaupun masih terdapat deria dan pancaindera lain seperti bau, sentuhan dan lain-lain, namun deria pendengaran lebih memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran.
Kegagalan deria pendengaran untuk berfungsi dengan sempurna membawa kepada masalah berkomunikasi yang sekaligus menjejaskan kualiti kehidupan sosial dan peribadi. Walaupun masalah pendengaran ini merupakan ancaman kepada kehidupan yang bermutu, namun kebanyakan kanak-kanak yang bermasalah pendengaran ini sering dianggap normal dan tidak ketara berbanding dengan mereka yang mengalami masalah terencat akal.  Hal ini tidak benar sama sekali. Kanak-kanak yang bermasalah pendengaran ini sebenarnya merasa terasing daripada komuniti berikutan kegagalan mereka untuk berkomunikasi dengan sempurna.
Menurut penulis terkenal Amerika, Helen Keller yang juga merupakan seorang buta dan pekak dalam buku autobiografinya ada menyatakan ‘Blindness separates us from things, but deafness separates us from people’. Jika diberi pilihan untuk menjadi buta atau pekak, beliau rela untuk menjadi seorang yang buta kerana dengan hilangnya deria pendengaran menjadikan seseorang itu sangat terasing dan tiada manusia sepatutnya merasa terasing di dunia ini.
Masalah pendengaran ini boleh berpunca dari pelbagai sebab sama ada sebelum kelahiran, semasa kelahiran dan selepas kelahiran. Antara punca-punca yang membawa kepada masalah pendengaran ialah jangkitan telinga yang kronik, faktor keturunan, kecacatan kongenital, sakit kuning yang teruk semasa bayi, penggunaan dadah ototoksik, jangkitan virus atau bakteria dan juga proses penuaan dan tumor.
Untuk mendengar, kesemua bahagian telinga iaitu telinga luar, tengah dan dalam haruslah boleh berfungsi secara normal tanpa sebarang jangkitan atau abnormaliti. Sebarang gangguan di mana-mana bahagian akan menyebabkan individu berkenaan menghadapi masalah pendengaran dan kesan masalah ini bergantung kepada tahap keterukan masing-masing.

MASALAH-MASALAH SAMPINGAN
Kanak-kanak yang bermasalah pendengaran ini dapat dikenalpasti mengalami masalah berikut. Mereka kelihatan  kurang memberi perhatian dalam kelas, selalu berkhayal, buitr-butir percakapan yang tidak jelas dan janggal, kelihatan terkejut apabila dihampiri dari belakang, duduk terlalu dekat dengan radio atau televisyen, tidak memahami dan mengikut arahan yang diberi, tidak melibatkan diri dalam aktiviti yang memerlukan kemahiran bertutur serta sering bertanya mengenai tugasan yang perlu dilakukan.
            Secara asasnya masalah pendengaran ini membawa kepada kesan-kesan sampingan yang lain iaitu terhadap penguasaan bahasa dan komunikasi, pertuturan, sosial dan emosi, dan sekaligus menjejaskan pencapaian akademik. Gangguan dalam komunikasi berlaku apabila percakapan menggunakan dan mencantumkan huruf-huruf menjadi perkataan dan huruf-huruf ini dibahagikan kepada kumpulan huruf yang utama iaitu vowel dan konsonan. Penyebutan huruf konsonan menggunakan frekuensi bunyi yang melebihi 1500 Hz.
Kegagalan untuk  mendengar vowel dan konsonan menjadikan seseorang itu pekak dan sukar untuk mendengar bunyi dan apatah lagi untuk memahami apa yang dituturkan oleh orang lain. Oleh itu kanak-kanak yang bermasalah pendengaran akan mengalami masalah bahasa reseptif dan ekspresif serta turut bermasalah dari segi penyusunan struktur ayat. Kanak-kanak ini dikenalpasti menggunakan susunan subjek dan predikat yang terbalik, istilah yang tergantung, perbendaharaan kata yang tidak meluas, dan melakukan kesalahan tatabahasa yang jelas.
Kanak-kanak ini juga mengalami kelewatan dari segi kemahiran membaca dan menulis disebabkan oleh kesukaran mendiskriminasi bunyi, sukar untuk mengikut arahan dan memahami perkataan, tidak dapat ikut pelajaran secara lisan, tidak menguasai nama dan bunyi huruf serta tidak dapat mengadunkan bunyi menjadi perkataan.
Dari segi pertuturan, kanak-kanak yang bermasalah pendengaran akan meniru gerak bibir orang sekeliling. Mereka juga berhadapan dengan masalah dari segi sebutan, gagap, suara dan masalah bahasa serta cenderung untuk bercakap dengan nada yang tinggi disebabkan oleh perubahan struktur pertuturan  di mana suara gagal membentuk getaran.
Kesan sampingan masalah pendengaran juga menjejaskan kehidupan sosial dan emosi. Kanak-kanak ini menunjukkan tingkah laku yang pasif berbanding dengan rakan mereka yang normal dan lebih selesa berinteraksi dengan rakan mereka  yang mengalami masalah sama. Oleh itu, adalah sukar untuk menyesuaikan diri dalam suasana baru. Ini membawa kepada konsep kendiri yang negatif dan mengakibatkan kurangnya keyakinan diri serta malu dengan ketidakupayaan yang dimiliki. Seterusnya, menganggap diri  tidak pandai dan menyebabkan gagal untuk menonjolkan kekuatan yang ada pada diri sendiri dan mengambil keputusan untuk menjauhkan diri daripada masyarakat.
Kesan komunikasi yang negatif, masalah pertuturan dan emosi yang tidak stabil ini memberikan kesan yang lebih teruk terhadap pencapaian akademik mereka kerana mereka tidak dapat  menyatakan sesuatu dengan baik dan berkesan sama ada melalui bahasa lisan  atau tulisan. Oleh itu, mereka akan ketinggalan dari segi penguasaan bahasa dan sukar untuk memahami sesuatu bersifat abstrak.

No comments:

Post a Comment