Berdasarkan kajian,
pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran ini menjadi lebih sukar kepada lebih
daripada 70% murid di Sekolah Kebangsaan. Guru juga sukar mengajar Matematik
dalam Bahasa Inggeris kerana mereka sendiri kurang lancar dengan bahasa
tersebut. Dengan itu, proses pemahaman pelajar tentang konsep dan prosedur
dalam Matematik tidak dapat dibuat dengan mudah dan lancar, walaupun dengan
menggunakan program perisian komputer (yang sekarang sudah jarang digunakan
kerana dianggap kurang praktikal dan kurang berkesan).
Data PROTIM (program
‘pembangunan’ yang dilaksanakan ke atas murid tahun 4, 5 dan 6 di setiap
sekolah dijalankan keatas murid yang menghadapi masalah penguasaan membaca,
menulis dan mengira)
tahun 2008, menunjukkan seramai 117,000 orang murid Tahun 4 di Sekolah Rendah
belum menguasai asas mengira (penambahan, penolakan, pendaraban dan
pembahagian). Keputusan Peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun
2008, secara bandingan menunjukkan peratus murid SRJK Cina/ Tamil yang mencapai
gred cermerlang/ baik meningkat dan prestasi murid Sekolah Kebangsaan merosot. Oleh
kerana kebanyakkan murid Sekolah Kebangsaan itu lebih 90% terdiri daripada
murid Melayu dan Bumiputera lain, maka murid yang bertambah lemah dalam
Matematik adalah murid Melayu dan Bumiputera lain. Inilah kesan negatif yang
ketara akibat dari dasar PPSMI ini keatas Sekolah Kebangsaan. Dasar ini tidak
menjejaskan pembelajaran dan prestasi murid SRJK Cina/ Tamil, kerana mereka
terus belajar Matematik dalam Bahasa Cina/ Tamil (dan ditambah dengan istilah dalam
Bahasa Inggeris).
Berdasarkan kajian di
atas, kebanyakan (lebih 70%) pelajar Melayu dan Bumiputera lain di Sekolah
Kebangsaan, terutama dari golongan sosioekonomi rendah di bandar dan di luar
bandar akan terus menghadapi masalah dan kepayahan belajar Matematik dalam
Bahasa Inggeris. Oleh kerana asas di peringkat rendah ini lemah, maka kelemahan
ini secara keseluruhannya dibawa ke peringkat menengah dan tinggi. Golongan
ini, yang telah menghadapi kepayahan belajar sejak enam tahun di sekolah rendah,
akan terus terjejas pembelajaran mereka di peringkat menengah. Yang mendapat
faedah dan untung dari dasar PPSMI adalah 20% -30% pelajar dari keluarga
profesional, golongan menengah dan mereka yang tinggal di bandar. Kebanyakan
ibubapa mereka ini tentulah ingin mempertahankan dasar yang menguntungkan
mereka. Pemikiran diperingkat pentadbiran tertinggi dan kementerian banyak
memihak kepada golongan ini.
Perkembangan dan latihan
modal insan dalam bidang profesional akan terjejas, terutama dikalangan bangsa
Melayu dan Bumiputera lain, kerana dasar PPSMI akan terus mengecilkan peratus
dan bilangan pelajar Melayu yang mempunyai asas kukuh di peringkat rendah dan
menengah dalam matematik. Seterusnya mengecilkan lagi peratus pelajar Melayu
dan Bumiputera lain yang layak untuk melanjutkan pengajian tinggi dalam bidang profesional.
Strategi perkembangan modal insan dalam matematik melalui dasar PPSMI telah dan
akan melemahkan keupayaan pembinaan modal insan terutamanya kepada anak-anak
Melayu dan Bumiputera lain. Ini akan membantutkan keupayaan ekonomi mereka dan
seterusnya perkembangan ekonomi Melayu akan merosot, menambahkan jurang antara
kaum dan golongan sosioekonomi serta boleh menjejaskan kestabilan negara.
No comments:
Post a Comment