Artikel 1 : Menangani FOBIA Matematik
UTUSAN MALAYSIA : 05 Julai 2006
FOBIA Matematik dalam kalangan pelajar terutama pelajar bumiputera perlu dikikis bagi memastikan pelajar di negara ini berjaya menguasai mata pelajaran itu. Justeru bagi membantu `menghilangkan' fobia tersebut Kolej Universiti Teknologi dan Pengurusan Malaysia (KUTPM) mengadakan Kuiz Pintar Matematik siri pertama KUTPM 2006.
UTUSAN MALAYSIA : 05 Julai 2006
FOBIA Matematik dalam kalangan pelajar terutama pelajar bumiputera perlu dikikis bagi memastikan pelajar di negara ini berjaya menguasai mata pelajaran itu. Justeru bagi membantu `menghilangkan' fobia tersebut Kolej Universiti Teknologi dan Pengurusan Malaysia (KUTPM) mengadakan Kuiz Pintar Matematik siri pertama KUTPM 2006.
Sebanyak 24 sekolah menengah dari seluruh Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengambil bahagian yang diwakili oleh pelajar-pelajar tingkatan lima. Menurut Presiden KUTPM, Prof. Datuk Mohd Shukri Ab Yajid, selain mengikis sikap itu, kuiz berkenaan bertujuan menanamkan minat, kreativiti dan motivasi pelajar dalam mata pelajaran itu. "Fobia ini juga boleh diatasi dengan menentukan cara penyampaian pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan,'' jelasnya.
Melalui kuiz anjuran Pusat Pengajian Asas (CFS) KUTPM, setiap sekolah menghantar tujuh wakil dan peringkat separuh, 15 sekolah dengan tiga wakil akan bertanding manakala di peringkat akhir pula tiga sekolah akan berentap meraih kejuaraan.
Pemenang akan menerima piala pusingan Datuk Mohd Shukri, wang tunai RM200 dan hamper, naib johan akan menerima wang tunai RM150 dan hamper, pemenang ketiga akan menerima RM100 dan hamper manakala peserta terbaik akan menerima RM50.
Panduan
Dalam pada itu kata Mohd Shukri, objektif kuiz itu juga adalah untuk mengukuhkan kemahiran pembelajaran Matematik dalam kalangan pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kuiz tersebut turut membantu pelajar melalui panduan dan tunjuk mempelajari Matematik yang boleh diaplikasikan semasa peperiksaan itu.
Selain itu, kuiz bertujuan memperkenalkan KUTPM sebagai salah sebuah institusi pendidikan yang menjadi pilihan dalam pelajar untuk melanjutkan pelajaran. Dalam pada itu majlis perasmian kuiz berkenaan telah dilakukan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Zulhasnan Rafique.
Beliau turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MOU) antara KUTPM dan JobsDB.com. Zulhasnan menyifatkan usaha yang dilakukan KUTPM dalam menganjurkan kuiz berkenaan perlu dicontohi oleh institusi pengajian tinggi lain. "Fobia terhadap mata pelajaran ini perlu dikikis kerana Matematik amat penting dalam kehidupan seharian malah Matematik bukan menyusahkan tetapi memudahkan setiap aktiviti yang kita lakukan,'' ujar beliau.
Beliau turut mengalu-alukan usaha KUTPM itu agar dilaksanakan di sekolah-sekolah seluruh Kuala Lumpur. "Kita bersedia menjadi tuan rumah kuiz sebegini dengan kerjasama KUTPM dan Jabatan Pelajaran Negeri,'' katanya.
Usaha yang dilakukan oleh KUTPM itu juga katanya adalah salah satu sumbangan kepada kerajaan dalam usaha membina modal insan. Sementara itu, MOU KUTPM dengan JobsDB.com bertujuan mendedahkan pelajar-pelajarnya terhadap peluang menceburi bidang kerjaya yang sesuai. Menurut Mohd Shukri, langkah tersebut juga adalah usaha KUTPM memperkasakan pelajar-pelajarnya dengan elemen-elemen kompetitif dalam pasaran kerjaya.
No comments:
Post a Comment