Pelajar Pasca Siswazah

My photo
Tanjong Malim, Perak, Malaysia
(Dari Kanan) Abdul Kalamudinsah Abd Karim, Rusmiza Rusle, Noraini Mohd Sohaimi, Nurul Aziyan Abd Aziz
Showing posts with label STANDARD Guru. Show all posts
Showing posts with label STANDARD Guru. Show all posts

Thursday, March 22, 2012

Perihatin Kebajikan Anggota

Artikel 5 : Nilai Bitara

Prihatin kebajikan anggota ialah guru mengambil berat kebajikan rakan sejawat, pentadbir, murid-murid dan yang berkaitan dengannya di dalam dan luar sekolah.
            Perasaan empati ataupun murni perlu ada dalam diri seorang guru. Sekiranya, murid-murid ada masalah peribadi, guru hendaklak menyelidik dahulu dan mendengar masalah mereka. Tidak semestinya kita mampu menyelesaikan masalah mereka. Sebagai pendengar kepada masalah murid, murid membina kepercayaan terhadap guru dan dapat meluahkan masalah mereka kepada guru. Ini membantu mereka mengurangkan tekanan yang dihadapi. Guru kaunseling menggunakan kaedah murid meluahkan masalah dulu sebagai medium untuk membantu mereka meluahkan pelbagai masalah iaitu perasaan marah, sedih dan sebagainya. Menjadi pendengar yang baik semasa murid  meluahkan perasaan sudah memadai sebagai permulaan membina rasa selesa untuk murid lebih rapat dengan guru. Cara ini menunjukkan empati guru terhadap kesusahan dan tekanan yang dihadapi mereka. Empati juga penting bukan sekadar untuk murid tetapi keseluruhan anggota sekolah di mana kita berkhidmat. Seandainya rakan atau murid menghadapi musibah, ambil berat kebajikan mereka. Melawat, bertanya khabar untuk mengetahui keadaan mereka membantu secara psikologi dalam diri mereka rasa dihargai dan diingati oleh guru atau rakan. Ini membuatkan mereka lebih bersemangat dan ingin kembali sihat atau pun segera melaksanakan tanggungjawab di sekolah.
            Penghargaan penting dalam nilai kebajikan anggota. Penghargaan mampu membina semangat murid-murid untuk terus berusaha lebih lagi setelah dipuji oleh guru. Ini membuatkan mereka rasa dihargai oleh guru. Sebagai contoh, murid yang menyiapkan kerja sekolah dengan sempurna akan dipuji dalam buku latihan mereka dengan catatan ringkas guru selepas menanda buku. Perkataan ‘bagus’, ‘baik’ dan banyak lagi kata-kata positif diakhir hasil kerja murid yang digunakan oleh guru menunjukkan hasil kerja mereka dihargai oleh guru. Di padang pula, bagi murid yang boleh melepasi tahap-tahap kecergasan tertentu akan dipuji oleh guru. Ini turut membina semangat bagi murid yang tidak melepasi tahap itu berusaha lebih lagi, manakala murid yang telah melepasi akan berusaha untuk lebih baik. Perkataan terima kasih turut membantu murid berasa usaha atau apa yang dilakukan oleh mereka dihargai. Contohnya murid membantu menghantar buku kerja murid kepada guru dibilik guru. Ini membuatkan mereka gembira dan rasa dihargai atas usaha dan bantuan mereka.
            Persekitaran yang selesa boleh memberi motivasi kepada guru dan murid-murid melakukan tugasan. Sebagai contoh, keselesaan didalam kelas untuk berinteraksi dengan murid dapat membuatkan perhubungan guru dan murid lebih mesra, rapat dan tidak janggal dalam membincangkan mengenai pembelajaran yang sedang atau telah diajar. Murid yang selesa dengan guru sekiranya tidak faham akan terus bertanya bagi mendapatkan kepastian. Sekiranya guru mengabaikan murid tersebut atau memperkecilkannya, ini mewujudkan persekitaran yang tidak selesa bagi mereka untuk belajar. Seterusnya menyebabkan murid tidak minat terhadap guru tersebut dan mata pelajaran yang diajar. Begitu juga antara guru dengan guru. Persekitaran yang selesa disekolah membantu mereka untuk berkongsi ilmu, pengalaman dalam mengajar dan saling membantu sekiranya terdapat permasalahan.
            Kesimpulannya, guru hendaklah benar-benar mengaplikasikan nilai-nilai murni yang telah digariskan. Sebagai guru juga, kita cuba membentuk sahsiah yang baik di kalangan murid-murid kita. Oleh sebab itu, kita seharusnya memastikan diri kita mempunyai sahsiah yang baik terlebih dahulu sebelum cuba menerapkan nilai-nilai tersebut kepada murid-murid.

Berorientasikan Pelanggan

Artikel 4 : Nilai Bitara

Sebagai kakitangan kerajaan, setiap anggota berorientasikan pelanggan. Guru pelanggannya yang utama ialah murid dan ibu apa,  polis dan bomba pelanggannya orang awam, doktor pelanggannya pesakit dan banyak lagi. Dalam aspek berorientasikan pelanggan, bermaksud kepuasan pelanggan dalam perkhidmatan yang disampaikan. Bagi seorang guru, kepuasan bagi murid apabila mengasai sesuatu yang seharusnya dipelajari di sekolah. Seperti menguasai matapelajaran, mempunyai pengalaman, pergaulan yang terarah dan pengurusan.
            Di bawah berorientasikan pelanggan, sikap responsif perlu ada dalam diri guru dan murid. Guru perlu bertindak dengan cepat dan segera dalam melaksanakan tugas yang diberikan. Sebagai contoh, selepas peperiksaan, kertas ujian perlu disemak awal dan dimasukkan markah tersebut untuk dibuat penilaian. Selesai pemarkahan inilah guru boleh merangka semula langkah penambahbaikkan atau pemulihan bagi satu-satu matapelajaran yang diajar untuk meningkatkan kualiti murid dan kuantiti murid yang mencapai aras yang telah ditetapkan. Sikap responsif ini perlu diterapkan dalam diri murid-murid supaya mereka dapat menambahbaikkan diri secara kendiri. Dalam pelaksanaan tugas murid-murid dapat segera mencari maklumat tanpa berlengah, segera bertindak melaksanakan tugasan yang diberi. Ini mampu mengelakkan mereka tercicir dalam menguasai satu-satu topik.
            Sikap proaktif juga perlu wujud dalam diri guru. Guru yang proaktif akan sentiasa berjaga-jaga terhadap segala kemungkinan yang bakal terjadi berlandaskan profesion. Guru perlu menyediakan perancangan yang rapi bagi menghindari sebarang halangan dalam setiap tindakan dan tugas yang dilakukan. Sebagai contoh, guru mata pelajaran yang menghadapi masalah murid yang tidak hantar kerja sekolah. Guru perlu menasihati dan merekodkan murid tersebut. Selepas beberapa kali murid tersebut mengulangi kesalahan yang sama, rujukkan murid tersebut kepada guru disiplin seterusnya kepada pentadbiran. Guru perlu bersiap sedia terhadap kemungkinan ibubapa menyalahkan guru tidak mengajar dan perlu menyatakan sebab keputusan tersebut merosot di dalam mesyuarat supaya tindakan sewajarnya dapat diambil. Guru merancang dan merangka keperluan murid. Dalam erti kata lain, guru merancang aras pengajaran yang sesuai bagi sesuatu topik untuk memudahkan murid faham dan menguasai topik yang diajar. Sikap proaktif dan responsif memerlukan semangat yang tinggi dan tenaga yang mantap dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai guru. Ini membantu guru bersedia dan sentiasa berjaga-jaga dalam melaksanakan tugasan, meperbaiki kelemahan menjadikan kekuatan untuk berjaya.
            Guru perlulah mesra semasa di dalam sekolah dan di luar sekolah. Di dalam sekolah, guru yang mesra dan senangi oleh guru-guru lain dapat membantu diri dalam menimba ilmu mengajar dan banyak lagi. Mesra bersama murid memudahkan mereka menerima ilmu yang diajar dan memberikan mereka semangat untuk berlumba-lumba mengikuti aktiviti yang dijalankan. Di luar seklah pula, guru perlulah mesra bersama orang sekeliling mereka untuk mewujudkan persekitaran yang mesra dan gembira pada diri dan juga masyarakat sekeliling.
            Kerja yang dilaksanakan berkualiti oleh guru dapat memberikan kepuasan kepada murid-murid. Kerja yang berkualiti bermaksud menepati kehendak dan kriterira berdasarkan standard tertentu. Contohnya guru mengajar menggunakan alat bantu mengajar yang sesuai dan mengajar kaedah yang mudah difahami oleh murid dapat meningkatkan kefahaman murid. Di sini, kualiti yang dinyatakan adalah dari usaha guru tersebut membina alat bantu mengajar dan cara mengajar yang praktikal membolehkan murid lebih memahami isi pelajaran yang diajar. Setelah murid-murid faham, barulah pengajaran dan pembelajaran menepati kualiti yang diingini.

Semangat Berpasukan

Artikel 3 : Nilai Bitara

Dalam sesuatu organisasi terdapat ramai ahli yang akan menjalankan tanggungjawab yang telah ditetapkan. Semangat berpasukan di kalangan semua ahli yang terdapat dalam satu-satu organisasi bawah satu pimpinan amat perlu dalam menjadikan matlamat yang dirancang tercapai. Setiap ahli kumpulan dalam organisasi perlulah saling hormat-menghormati, bertolak ansur dan bekerjasama menjalankan tanggungjawab kepada kumpulan dan matlamat yang telah ditetapkan. Dalam semangat berpasukan, terdapat nilai yang perlu ada bagi setiap ahli iaitu, muafakat, fokus, hormat menghormati dan bangga.
            Sikap muafakat dalam semangat berpasukan ialah saling bekerjasama menangani masalah yang dihadapi bersama. Elakkan salah faham dan prasangka sesama ahli. Sebagai contoh, dalam menjalankan aktiviti panitia, kerjasama semua ahli diperlukan untuk memantapkan lagi hasil yang dimatlamatkan. Seandainya ada guru dalam waktu-waktu sedang menjalankan aktiviti menghadapi masalah yang tidak dapat dielakkan, ambil alih tugasnya sementara dengan rela hati tanpa sebarang prasangka. Bantuan dan galakan juga boleh diberikan kepada rakan sekumpulan untuk meningkatkan pencapaian murid dalam akademik. Bagi murid pula, guru boleh menjalankan aktiviti mentor mentee sebagai salah satu kaedah untuk meningkatkan pemuafakatan di kalangan mereka. Guru menempatkan murid terdiri dari kelas yang berbeza dan tahap yang berbeza untuk mereka selesaikan permasalahan yang diberi. Pemerhatian ini ketara boleh dilihat dan dilaksanakan semasa aktiviti kokurikulum. Sebagai contoh aktiviti perkhemahan pengakap, murid tahun 5 dan 6 boleh mengajar murid tahun 3 dan 4 bagaimana membina gajet, memasang khemah dan banyak lagi. Dalam aktiviti panitia matematik pula, murid akan membantu dan mengajar bagaimana menyelesaikan permasalah matematik berdasarkan formula. Ini secara tidak langsung murid mahir bertambah kukuh dalam penyelesaian masalah, manakala murid lemah semakin mahir dalam memahami konsep. Tujuan utama permuafakatan ini adalah menyatukan murid-murid bekerjasama dalam pelbagai situasi dan membantu mereka membina pemahaman ilmu bukan hanya datang dari buku dan guru, tetapi turut datang dari pengalaman orang lain dan kerjasama.
            Dalam berpasukan, setiap ahli secara langsung atau tidak langsung perlu ada matlamat. Tidak kira samada matlamat individu atau pun kumpulan, ianya mestilah terlaksana. Contohnya yang sentiasa guru-uru dan murid-murid lihat disekolah, matlamat sekolah terpampang dengan tertulisnya Visi dan Misi sekolah. Visi dan Misi inilah yang perlu dilaksanakan oleh guru dan murid saban tahun. Matlamat terdiri dari dua kategori iaitu matlamat jangka pendek atau jangka panjang. Sebagai contoh, matlamat jangka pendek, murid mengetahui proses fotosintesis tumbuhan. Manakala matlamat jangka panjang pula ialah murid mahu mendapat kuputusan A dalam setiap mata pelajaran. Matlamat ini juga dirancang dan ditetapkan oleh guru. Guru mencatat perkembangan murid untuk memastikan keberkesanan dan pencapaian yang telah dicapai. Sekiranya tidak tercapai, kaedah diolah kembali bersesuaian dengan matlamat yang telah ditetapkan.
            Saling hormat-menghormati di kalangan ahli kumpulan perlu diterapkan dan ditanam dalam jiwa setiap ahli. Elakkan sikap mementingkan diri dan salah guna kuasa. Ini membantu memupuk sikap saling mempercayai di kalangan ahli kumpulan. Menghormati hak dan keistimewaan orang lain dapat mengelakkan masalah konflik dan salah faham di dalam kumpulan. Tidak kira tua atau muda, berpangkat atau ahli biasa, kita mestilah saling menghormati dan berikan penilaian sewajarnya. Tidak salah menghormati orang yang lebih muda. Mereka tetap akan belajar dari pengalaman dan pemerhatian sebagai contoh terbaik untuk diamalkan.
            Setiap sekolah ada identiti tersendiri. Kita sepatutnya bangga apa yang telah dicapai oleh sekolah dan perbaiki lagi kelebihan yang ada. Sebagai contoh, sekolah mewakili peringkat kelompok dalam pertandingan Karnival Bahasa, secara tidak langsung, murid-murid dan guru berasa bangga atas pencapaian tersebut. Murid bercerita kepada ibubapa, ibubapa murid tersebut akan menceritakan kepada ahli keluarga yang lain. Bagi guru pula, mereka bangga hasil usaha yang telah dilaksanakan dan kana berkongsi dengan guru dari sekolah lain semasa berkursus. Guru Besar pula akan ditanya semasa dalam mesyuarat bersama guru-guru besar sekolah lain.

Saturday, March 17, 2012

Integriti

Artikel 1 : Nilai Bitara

NILAI PROFESIONAL YANG PERLU DIMILIKI OLEH SEORANG GURU
            Sebagai seorang guru yang perlu mematuhi standard guru di bawah domain nilai, Nilai BITARA boleh dijadikan panduan. Terdapat enam aspek guru yang berkesan seperti yang digariskan dalam nilai Bitara. Nilai BITARA yang pertama ialah integriti.
INTEGRITI
Nilai Bitara yang pertama untuk menunjukkan ciri-ciri guru yang berkesan dalam pengajaran ialah integriti. Terdapat empat aspek sebagai aras petunjuk bagi nilai integriti yang perlu bagi seorang guru untuk meningkatkan pengajaran.
            Petunjuk pertama ialah ADIL. Guru mestilah adil dengan diri sendiri menunaikan tanggungjawap terhadap kelas iaitu mestilah tepat memulakan dan menamatkan kelas yang telah dijadualkan. Guru tidak menggunakan masa didalam kelasnya untuk mencuri tulang. Contohnya, menanda buku di dalam kelas, berurusan perniagaan melalui telefon semasa waktu pengajaran dan pembelajaran, melayari laman web semasa mengajar dan sebagainya. Guru seharusnya adil dengan diri sendiri dan murid. Kerana murid berhak mendapat yang terbaik dan guru sepatutnya memberikan yang terbaik.
            Amanah dalam menjalankan tanggungawab guru juga tergandung dalam aspek integriti. Guru seharusnya amanah dalam mendidik murid-murid, menjaga serta menyayangi harta sekolah. Dalam konteks amanah dalam pengajaran, guru seharusnya amanah dalam menyampaikan ilmu pengajaran dan pembelajaran berdasarkan subjek yang diajar. Dalam pada itu, guru tidak seharusnya hanya menumpu semasa di dalam kelas. Adakalanya pengajaran dan pembelajaran secara tidak langsung diluar kelas turut memberikan impak yang positif dalam diri murid-murid. Disinilah kadangkala timbulnya nilai didikan membentuk akhlak murid-murid.
            Guru haruslah telus dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran. Maksu telus disini ialah bersesuaian dengan skema pembelajaran dalam tempoh masa yang ditetapkan. Contohnya pada minggu pertama persekolahan, guru sudah mengajar topik pertama. Tetapi adakalanya terpaksa berterusan dalam minggu kedua berdasarkan kepada kemampuan murid untuk mengikuti proses pengjaran dan pembelajaran tersebut.
            Sikap akauntabiliti perlulah dipamerkan dengan melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran mengikut rancangan pengajaran yang telah ditetapkan. Sebagai contoh dalam pendidikan seni visual, murid-murid diminta melukis bunga hiasan yang terdapat di kawasan sekolah. Proses pengajaran dan pembelajaran ini sesuai dilaksanakan di luar kelas. Pengajaran dan penbelajaran kurang berkesan sekiranya guru melaksanakan di dalam kelas dan hanya menggunakan imaginasi murid-murid untuk melukis pokok-pokok tersebut. Segala arahan dan peraturan dari pihak atasan samada guru besar, Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri ataupun Kementerian. Contohnya seperti membuat ‘headcount’, ini merupakan penyelidikan yang dilaksanakan oleh guru untuk menilai tahap murid dan perlu diserahkan kepada Jabatan dalam masa yang telah ditetapkan. Segala arahan yang diberi perlulah dilaksanakan dan bertanggungjawab atas tugasan yang diberikan sepenuhnya. Kegagalan adalah berpunca dari diri sendiri.

Profesional

Artikel 2 : Nilai Bitara

NILAI PROFESIONAL YANG PERLU DIMILIKI OLEH SEORANG GURU

Sebagai seorang guru yang perlu mematuhi standard guru di bawah domain nilai, Nilai BITARA boleh dijadikan panduan. Terdapat enam aspek guru yang berkesan seperti yang digariskan dalam nilai Bitara. Nilai BITARA yang kedua ialah profesional.
PROFESIONAL
Profesional merujuk kepada kemampuan dan kemahiran dalam profesion serta melibatkan kemahiran dan kecekapan di dalamnya. Untuk meningkatkan tahap profesional, kita mestilah menunjukkan minat yang mendalam dalam sesuatu perkara sebagai contoh guru yang minat dalam kejurulatihan ragbi akan mempelajari segala aspek dalam permainan tersebut sebelum di ketengahkan di peringkat sekolah. Dalam pada itu, sebagai guru yang berminat untuk meningkatkan kualiti diri dan pelajarnya, latihan akan diberikan peringkat demi peringkat sehingga mereka mahir. Dalam contoh ini, latihan yang diberikan tidak memadai melainkan ada pertandingan persahabatan untuk menilai diri dan latihan yang telah diberikan. Sekiranya hasil dibawah aras yang telah ditetapkan, baiki kesilapan dan kelemahan. Atur semula jadual latihan, cara latihan dan persefahaman dalam kumpulan. Ambil kekalahan sebagai nilai positif untuk meningkatkan lagi mutu sedia ada.
            Dibawah nilai profesionalisma, terdapat empat pecahan iaitu, beretika, iltizam, cinta ilmu dan kompeten. Beretika ialah sentiasa mengutamakan kepentingan organisasi. Dalam organisasi sekolah, guru yang beretika akan menjaga maruah sekolah, guru-guru dan murid-murid disekolahnya. Segala maklumat peribadi di dalam organisasi tidak seharusnya dibawa keluar apatah lagi mengaibkan sesetengah individu didalam organisasi tersebut.
            Besikap iltizam atau komited ialah menjalankan tugas dengan penuh semangat dan berdedikasi. Skop tugasan guru yang utama ialah pengajaran dan pembelajaran. Tugasan yang diberikan perlu dirancang dan dilaksanakan dengan teliti dan terperinci. Guru perlu melaksanakan tanggungjawab dan tugasan dengan sepenuh hati tanpa mengira masa. Sebagai contoh, kelas tambahan yang telah dirancang untuk dilaksanakan pada hujung minggu bagi meningkatkan kualiti dan kuantiti pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan UPSR. Guru seharusnya sepenuh hati melaksanakan tugasan ini. Jadikan diri sebagai ‘role-model’ untuk murid-murid supaya dapat meningkatkan usaha mereka dalam pengajaran dan pembelajaran.
            Cintakan ilmu turut membantu meningkatkan tahap profesionalisma. Guru perlu mencari ilmu untuk keperluan dirinya dan merangka strategi yang boleh membangunkan minda murid-murid dan diri sendiri. Terapkan dalam diri ilmu yang dipelajari tak pernah cukup. Dalam hal ini, guru seharusnya menyedari bahawa ilmu yang diperolehi sebenarnya sangat sedikit dan perlu sentiasa ditambah. Selain itu, guru perlu juga menyemaikan rasa cinta kepada ilmu di kalangan murid. Bukankah pembelajaran perlu diamalkan sepanjang hayat?
            Sikap kompeten dalam nilai profesinalisma ialah menyiapkan tugasan yang berkualiti dan efisyen dalam jangka masa yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, setiausaha bagi mesyuarat guru dikehendaki menyiapkan minit mesyuarat selewat-lewatnya 2 hari. Guru juga harus memastikan diri atau murid murid mencapai tahap kecekapan dalam tempoh yang ditentukan. Sebagai contoh, pada bulan Januari, murid tahap 2 sudah menguasai kemahiran menambah, menolak, mendarab dan membahagi. Murid-murid tidak hanya menguasai malah memahami sehingga dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian tanpa sebarang masalah. Dalam pada itu, guru dan murid-murid akan memastikan pembelajaran adalah bersifat kontemporari dan sepanjang hayat. Guru dan murid akan meningkatkan memperkemaskan dengan ilmu dan kemahiran baru sesuai dengan tajuk pembelajaran yang akan dan telah dipelajari. Contohnya dalam kaedah pendaraban bagi murid tahap 2, ada kaedah-kaedah baru yang boleh guru-guru ketengahkan dari hasil kajian masing-masing. Guru boleh menggunakan kaedah lama untuk pengenalan dan kaedah baru untuk pengukuhan pendaraban.